oleh Ain Azlan, Okt 22'
Luka melecur adalah antara luka yang perlu segera diberikan rawatan awal dan penjagaan susulan. Melecur boleh terjadi akibat kecuaian dan kelalain diri sendiri. Melecur boleh terjadi disebabkan oleh tumpahan air atau cecair panas pada kulit atau anggota badan seseorang.
Melecur boleh terbahagi kepada tiga tahap keadaan. Pada tahap pertama dimana melecur hanya melibatkan permukaan kulit sahaja. Gambaran melecur boleh dilihat dimana keadaan kulit tersebut menjadi merah dan akan berasa sakit atau pedih tetapi gelembung tidak terbentuk. Pada tahap kedua, melecur yang melibatkan kulit dalam. Pada tahap ini, ia melibatkan lapisan kulit luar. Selain kulit menjadi merah, panas atau sakit, kulit juga akan melepuh. Seterusnya melecur yang melibatkan keseluruhan kulit. Pada tahap ini ia melibatkan semua lapisan kulit termasuk tisu dalaman kulit. Pada keadaan ini kulit akan kelihatan pucat, keras dan menggelupas. Keadaan ini tidak menyakitkan dan ia kemungkinan disebabkan terdapat kerosakan pada salur saraf. Jadi deria sakit tidak memberi tindak balas atau respon yang baik.
Sekiranya anda berdepan dengan situasi sebegini, jangan panik kerana anda mampu untuk bertindak dan memberikan rawatan awal sekiranya keadaan melecur tersebut tidak serius. Jika hanya sebahagian kulit sahaja yang melecur (kurang dari saiz tapak tangan), ia boleh dirawat di rumah. Anda perlu alihkan bendasing yang manggangu kawasan luka melecur tersebut. Kemudian cuci kawasan tersebut dengan aliran air bersih yang mengalir selama lebih kurang 15 minit. Sekiranya terdapat air pencuci luka anda boleh cuci menggunakannya. Selepas itu, anda boleh sapukan krim atau losen antiseptik yang sesuai. Jangan sesekali menggunakan ubat gigi atau minyak rambut kerana ianya boleh menyebabkan jangkitan pada luka melecur tersebut dan boleh menyebabkan luka menjadi lebih teruk. Sekiranya terjadi gelembung jangan pecahkan dan sekiranya ia pecah, biarkan sahaja. Anda perlu dapatkan khidmat dari pakar kesihatan sekiranya luka tersebut makin teruk kerana anda perlukan imunisasi untuk menghalang tetanus. Anda perlu dapatkan rawatan lanjutan sekiranya ia melibatkan bahagian muka atau kawasan kelamin.
Komplikasi yang serius boleh berlaku sekiranya sebahagian besar permukaan kulit melecur dan melibatkan bahagian dalaman kulit. Seseorang yang melecur boleh mengalami demam, sakit yang teruk dan kulit bergelembung. Hal ini disebabkan oleh belakunya jangkitan kuman pada kawasan atau permukaan yang melecur tersebut. Disamping itu, untuk komplikasi jangka panjang daripada melecur ialah terjadi atau terbentuknya parut. Jangan risau parut boleh dipudarkan atau hilang dengan memakai krim parut yang dikhaskan untuk parut akibat luka melecur.